KUALA LUMPUR, 31 Mei- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka tidak berubah minggu depan disebabkan kekurangan pencetus pasaran dan minggu dagangan yang lebih pendek.
Peniaga minyak sawit David Ng berkata kekurangan petunjuk dagangan baharu dijangka menyebabkan pasaran kekal dalam julat yang terhad dalam masa terdekat.
“Kami menjangkakan komoditi ini akan diniagakan antara RM3,750 dan RM3,950 setiap tan,” katanya kepada Bernama.
Jurunilai kargo menjangkakan eksport produk minyak sawit Malaysia bagi tempoh 1 hingga 25 Mei meningkat antara 7.3 peratus hingga 11.6 peratus daripada tempoh yang sama bulan sebelumnya.
Sementara itu, Penganalisis Kanan Fastmarkets Palm Oil Analytics Dr Sathia Varqa berkata para peserta pasaran akan memerhati dengan teliti anggaran bekalan dan permintaan bagi Mei daripada tinjauan agensi berita serta data pengeluaran penuh bulan tersebut daripada Persatuan Minyak Sawit Malaysia termasuk data daripada Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) yang dijangka dikeluarkan pada 10 Jun.
Bagi Jumaat ke Jumaat, kontrak bulan semerta Jun 2025 naik RM64 kepada RM3,888 setiap tan, Julai 2025 meningkat RM55 kepada RM3,891 setiap tan dan Ogos 2025 bertambah RM51 kepada RM3,878 setiap tan.
Kontrak September 2025 meningkat RM49 kepada RM3,870 setiap tan, Oktober 2025 berkembang RM46 kepada RM3,870 setiap tan dan November 2025 bertambah RM43 kepada RM3,874 setiap tan.
Jumlah dagangan mingguan merosot kepada 281,987 lot daripada 331,960 lot pada minggu sebelumnya manakala kepentingan terbuka mengecil kepada 241,994 kontrak daripada 244,075 kontrak.
Harga fizikal MSM bagi Jun Selatan melonjak RM50 kepada RM3,930 setiap tan.
Bursa Malaysia Bhd dan anak-anak syarikatnya akan ditutup pada 2 Jun 2025 bagi meraikan sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Mereka akan menyambung operasi pada 3 Jun 2025.- BERNAMA