KUALA LUMPUR, 27 Disember- Ringgit dijangka diniagakan dalam jajaran kecil minggu depan, berlegar antara 4.03 dan 4.05 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), susulan minggu dagangan yang lebih singkat berikutan cuti umum.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr. Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata situasi itu dipengaruhi oleh sambutan Tahun Baharu pada Khamis dan ketiadaan pemangkin pasaran yang jelas.
"Besar kemungkinan dolar AS dan Ringgit Malaysia akan terus berlegar dalam jajaran kecil minggu depan, mungkin sekitar 4.03 hingga 4.05, berikutan ketiadaan petunjuk khususnya dari segi data-data baharu," katanya kepada Bernama.
Dalam masa sama, Kenanga Investment Bank Bhd memaklumkan, ringgit masih berdepan kesukaran untuk mengekalkan kedudukan di bawah paras 4.00 berbanding dolar AS, walaupun telah melepasi paras itu buat kali kedua sejak Jun 2018.
"Kami mengekalkan unjuran akhir 2025 pada paras 4.08 berbanding dolar AS sejak Mei, tetapi mendapati terdapat ruang untuk ringgit menutup tahun ini menghampiri paras 4.00 berbanding dolar AS. Tahap ini berkemungkinan menjadi paras rintangan yang kuat," katanya dalam nota penyelidikan.
Tambahnya, pengukuhan dolar AS secara bermusim pada suku pertama 2026, bersama naratif pertumbuhan ekonomi AS yang kekal berdaya tahan, berpotensi mendorong pasangan mata wang itu kembali ke julat sekitar 4.05 hingga 4.10 pada awal tahun hadapan.
Mata wang tempatan itu diniagakan bercampur-campur minggu ini, dibuka pada 4.07 sebelum mengukuh kepada 4.0410 pada pagi Jumaat, kemudian susut untuk menutup minggu dagangan pada 4.0470. -BERNAMA