KUALA LUMPUR, 25 Oktober – Ringgit dijangka kekal diniagakan dalam jajaran terhad berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) minggu depan, berikutan sentimen berhati-hati menjelang mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC), kata seorang penganalisis.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata tumpuan pasaran akan terarah kepada mesyuarat FOMC yang dijadualkan pada 28 dan 29 Oktober.
Beliau berkata pemotongan kadar faedah sebanyak 25 mata asas yang dijangka itu sebahagiannya telah diambil kira oleh pasaran, namun persoalan utama kini adalah bagaimana Rizab Persekutuan (Fed) akan menentukan hala tuju dasar monetarinya sekiranya penutupan kerajaan AS berterusan.
“Sehubungan itu, ringgit dijangka diniagakan dalam julat kecil antara RM4.22 hingga RM4.23 berbanding dolar AS minggu depan,” katanya kepada Bernama.
Dalam perkembangan lain, Indeks Harga Pengguna (IHP) AS bagi September, laporan ekonomi pertama sejak penutupan kerajaan bermula 1 Oktober, menunjukkan IHP teras meningkat kepada 330.54 daripada 329.79, manakala inflasi keseluruhan mereda kepada 3.0 peratus, lebih rendah daripada jangkaan pasaran. Data tersebut memberikan petunjuk bahawa tekanan inflasi semakin berkurangan, sekali gus mempengaruhi jangkaan terhadap hala tuju kadar faedah Fed.
Bagi prestasi mingguan, ringgit ditutup sedikit tinggi berbanding dolar AS pada 4.2210/2255, berbanding 4.2240/2275 minggu sebelumnya.
Unit tempatan turut diniagakan tinggi berbanding kebanyakan mata wang utama, termasuk yen Jepun pada 2.7592/7623 daripada 2.8218/8244, euro pada 4.9010/9062 daripada 4.9421/9462, dan pound Britain pada 5.6232/6292 daripada 5.6741/6788.
Ringgit juga meningkat berbanding mata wang ASEAN, termasuk dolar Singapura kepada 3.2484/2521 daripada 3.2635/2665, baht Thailand kepada 12.8768/8952 daripada 12.9301/9471, peso Filipina kepada 7.20/7.21 daripada 7.26/7.27, dan rupiah Indonesia kepada 254.2/254.6 daripada 254.6/254.9. -BERNAMA