fb fb fb fb fb

Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS

Foto Hiasan / RTM

KUALA LUMPUR, 7 Oktober - Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pagi ini, disokong oleh minat belian dalam persekitaran keyakinan bahawa kerajaan Malaysia akan mengekalkan disiplin fiskal dan secara beransur-ansur menurunkan defisit fiskal sebagai peratusan Keluaran Dalam Negara Kasar dalam Belanjawan 2026.

Pada pukul 8 pagi, ringgit naik kepada 4.2100/2205 berbanding dolar AS daripada 4.2135/2180 ketika ditutup semalam.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata perhatian akan tertumpu pada pembentangan Belanjawan 2026 pada Jumaat ini yang dijangka memacu sentimen pasaran minggu ini.

Beliau juga menekankan keperluan untuk merangsang permintaan domestik.

"Peniaga sedang memantau perkembangan ini. Justeru, ringgit mungkin diniagakan antara RM4.21 dan RM4.22 hari ini," katanya kepada Bernama.

Ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding sekumpulan mata wang utama.

Unit tempatan turun berbanding euro kepada 4.9295/9418 daripada 4.9155/9207 ketika ditutup pada Isnin, merosot berbanding pound Britain kepada 5.6768/6909 daripada 5.6608/66691, bagaimanapun meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.7996/8067 daripada 2.8019/8051 sebelumnya.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding mata wang ASEAN.

Ia meningkat berbanding baht Thailand kepada 12.9614/9994 daripada 12.9810/13.0009 semalam, melonjak berbanding rupiah Indonesia kepada 253.8/254.6 daripada 254.0/254.4 dan melonjak berbanding peso Filipina kepada 7.21/7.24 daripada 7.22/7.23 previously namun merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.2603/2687 daripada 3.2562/2599 ketika ditutup pada Isnin. -BERNAMA

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM