KUALA LUMPUR, 16 Julai - Ringgit dibuka rendah berbanding dolar US hari ini berikutan pengukuhan mata wang Amerika Syarikat (AS) dan tidak memenuhi jangkaan bahawa AS akan mengurangkan kadar faedahnya.
Pada pukul 8 pagi, mata wang tempatan turun kepada 4.2480/2575 berbanding dolar US daripada 4.2395/2440 ketika ditutup pada Selasa.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata laporan Indeks Harga Pengguna (IHP) AS untuk bulan Jun yang dikeluarkan pada hari Selasa menunjukkan bahawa kadar inflasi di AS meningkat, sekali gus tidak menetapi jangkaan penurunan kadar faedah pada mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) AS yang akan datang pada akhir bulan Julai ini.
"IHP AS meningkat 2.7 peratus tahun ke tahun pada Jun daripada 2.4 peratus pada bulan sebelumnya dan IHP teras meningkat 2.9 peratus pada Jun selepas mengekalkan kenaikan 2.8 peratus selama tiga bulan berturut-turut," katanya kepada Bernama.
Mohd Afzanizam juga berkata Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku kedua China menyederhana kepada 5.2 peratus daripada 5.4 peratus pada suku pertama, menyebabkan yuan China merosot berbanding dolar US sebanyak 0.15 peratus kepada 7.1825 yuan.
"Berdasarkan IHP terbaharu AS dan KDNK China, ringgit boleh terjejas dengan pertukaran dolar AS-ringgit antara RM4.24 hingga RM4.26 hari ini," katanya.
Pada pembukaan, ringgit diniagakan lebih tinggi berbanding beberapa mata wang utama.
Unit tempatan naik berbanding yen Jepun kepada 2.8552/8618 daripada 2.8702/8734 semalam, meningkat berbanding pound Britain kepada 5.6893/7021 daripada 5.7047/7107 dan menokok berbanding euro kepada 4.9311/9421 daripada 4.9539/9591.
Ringgit didagangkan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN.
Unit domestik melonjak berbanding dolar Singapura kepada 3.3066/3145 daripada 3.3095/3133, menambah berbanding baht Thailand kepada 13.0355/0783 daripada 13.0784/0988 sebelumnya.
Bagaimanapun, ringgit turun berbanding rupiah Indonesia kepada 261.1/261.8 daripada 260.6/261.0 dan jatuh berbanding peso Filipina kepada 7.49/7.51 daripada 7.47/7.49 ketika ditutup pada Selasa.
- BERNAMA