KUALA LUMPUR, 24 Ogos- Ringgit meningkat sedikit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada sesi awal Rabu, didorong oleh permintaan sederhana terhadap unit tempatan itu.
Pada 9.29 pagi ini, ringgit berada di paras 4.4850/4885 berbanding dolar AS daripada paras 4.4865/4900 pada akhir urus niaga semalam.
Menurut peniaga, permintaan terhadap unit tempatan masih lemah berikutan tindakan pelabur yang terus memilih aset selamat seperti dolar AS berikutan ketidaktentuan ketara di negara maju itu serta keadaan ekonomi global.
Dalam pada itu, ringgit diniagakan rendah berbanding kumpulan mata wang utama lain.
(Foto hiasan)
Ringgit susut berbanding euro kepada 4.4612/4647 daripada 4.4551/4586 pada akhir Selasa dan turun berbanding pound Britain kepada 5.2977/3018 daripada 5.2833/2874.
Unit tempatan itu juga rendah berbanding yen Jepun kepada 3.2771/2799 daripada 3.2662/2690 dan susut berbanding dolar Singapura kepada 3.2162/2192 daripada 3.2141/2170.- BERNAMA