fb fb fb fb fb

REHDA tubuh jawatankuasa ESG pacu agenda kemampanan sektor hartanah

Foto hiasan/RTM

KUALA LUMPUR, 15 November - Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) menubuhkan jawatankuasa alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) bagi memperkukuh agenda kemampanan dalam industri hartanah.

Presidennya Datuk Ho Hon Sang berkata jawatankuasa itu akan meletakkan persatuan berkenaan sebagai rujukan utama negara dalam pembangunan mampan dan bertanggungjawab.

“Fokus jawatankuasa ini merangkumi usaha meningkatkan kesedaran ESG dalam kalangan ahli, menyesuaikan standard kemampanan antarabangsa dengan konteks tempatan, memantau perkembangan dasar baharu serta memberi maklum balas kepada kerajaan mengenai kesan dasar berkaitan ESG,” katanya ketika berucap pada majlis makan malam tahunan Rehda di sini pada Jumaat.

Ho berkata ramai pemaju kini dilihat mula mengamalkan prinsip kemampanan, membuktikan komitmen pemain industri terhadap kelangsungan perniagaan, pemeliharaan alam sekitar dan pengukuhan kepercayaan awam.

Beliau berkata Rehda juga akan mengiktiraf kecemerlangan dan memberi penghormatan kepada projek-projek hijau berprestasi tinggi di negara ini menerusi Anugerah Pembangunan Mampan GreenRE.

Sejak diperkenalkan pada 2013, GreenRE telah memberikan pensijilan kepada lebih 800 projek melibatkan lebih 400 juta kaki persegi keluasan lantai kasar, merangkumi kediaman, pusat beli-belah, pusat data dan pembangunan perbandaran bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di United Kingdom, Australia, Vietnam, Kemboja dan Thailand.

“Kami juga menghargai usaha proaktif Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dalam memacu pendigitalan serta menyelaras keperluan perancangan tempatan seiring dengan matlamat perumahan negara, iaitu langkah yang akan meningkatkan kecekapan, ketelusan dan keyakinan para pelabur.

“Sektor hartanah yang kukuh menyumbang secara signifikan kepada keluaran dalam negara kasar, peluang pekerjaan dan kesejahteraan sosial. Justeru, kerjasama awam-swasta perlu terus diperkukuh bagi memastikan ekosistem perumahan yang berdaya tahan, inklusif dan mampan,” katanya.- BERNAMA

SITI NOOR KASANABILAH BINTI KAMARUL ZAMAN