fb fb fb fb fb

PuTERA35: Percepat peralihan syarikat bumiputera ke perusahaan besar

PuTERA35 akan memberi tumpuan kepada mempercepat peralihan syarikat bumiputera daripada tahap sederhana kepada perusahaan besar / Foto Hiasan

KUALA LUMPUR, 30 Ogos - Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35) akan memberi tumpuan kepada mempercepat peralihan syarikat bumiputera daripada tahap sederhana kepada perusahaan besar, sebagai usaha meningkatkan pemilikan ekuiti dan sumbangan mereka kepada ekonomi negara.

Presiden Dewan Perniagaan Islam Malaysia (DPIM), Datuk Mohammad Sahar Mat Din berkata sebahagian besar syarikat bumiputera masih berada di peringkat mikro dan kecil dengan kapasiti dan modal terhad.

“Kita harus menggalakkan peniaga baru dan membantu peniaga mikro, tetapi tumpuan juga perlu diberikan kepada yang sederhana untuk berkembang menjadi besar.

"Harapan kami, dalam masa 3-5 tahun, akan ada syarikat bumiputera yang besar yang boleh tersenarai di Bursa Malaysia,” katanya dalam program Biz Malaysia.

Tambah Mohammad Sahar, usaha menggalakkan penyertaan bumiputera dalam sektor ekonomi perlu dimulakan seawal peringkat persekolahan untuk melahirkan usahawan generasi baharu.

Pelan komprehensif 10 tahun itu menggariskan tiga teras dengan 12 pemacu utama dan 132 ikhtiar, selaras dengan aspirasi Ekonomi MADANI.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN