fb fb fb fb fb

Prospek pertumbuhan ekonomi Malaysia kekal memberangsangkan

KUALA LUMPUR, 6 Jun- Prospek pertumbuhan ekonomi Malaysia kekal memberangsangkan, meski berdepan pelbagai cabaran.

Felo Kehormat Institut Masa Depan Malaysia (MASA), Datuk Dr Madeline Berma yakin dengan prospek ekonomi Malaysia yang menunjukkan keyakinan pelabur asing kembali stabil, menjadikan Malaysia destinasi pilihan untuk pelaburan berimpak tinggi.

Jelasnya dalam sistem pelaburan global, pelabur hanya akan yakin serta memberi sokongan jika sesebuah negara itu mempunyai kerajaan yang stabil.

Momentum seperti itu boleh dikekalkan selagi Malaysia mencerminkan kestabilan dari pelbagai sudut politik, tadbir urus dan ekonomi.

"Mereka akan melihat dari segi kestabilan...kalau di negara kita memang sudah beberapa kali lihat perubahan kerajaan dan sebagainya, jadi antara faktor yang menjadi daya tarikan ialah ada tak kestabilan politik.

"Walaupun kita ada perubahan sedikit dari segi kerajaan, parti politik yang memerintah tapi dari segi kestabilan, memang antara kekuatan kita ialah pelaburan asing...mereka datang ke sini sebab kita ada kestabilan politik, apatah sekarang kita lihat dengan adanya kerajaan yang sedia ada...Kerajaan Perpaduan, kita melihat jumlah pelaburan pun semakin meningkat," katanya.

(Felo Kehormat Institut Masa Depan Malaysia (MASA), Datuk Dr Madeline Berma)

Beliau ditemui selepas menjadi tetamu program terbitan RTM di Angkasapuri.

Sambut baik cadangan penubuhan Tabung Kewangan Asia

Dalam pada itu, Dr Madeline yang juga Pakar Ekonomi, menyambut baik cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar negara-negara Asia menubuhkan Tabung Kewangan Asia (AMF).

Beliau berpendapat, memiliki AMF mengurangkan pergantungan kepada dolar Amerika.

"Kelemahan ringgit ini memang kalau kita lihat sebagai sebuah ekonomi, memang banyak kita dengar...pada awalnya apabila kerajaan yang baru memerintah, kita dengar bahawa ringgit agak kukuh.

"Tapi, ini ada kaitannya dengan apa yang berlaku di peringkat dunia juga...dengan keadaan yang berlaku dengan matawang AS. Jadi ini antara perkara yang menyebabkan mengapa Perdana Menteri mencadangkan penubuhan AMF supaya tidak terlalu bergantung kepada satu-satu mata wang semata-mata," jelasnya.

Media Baharu