fb fb fb fb fb

Projek pelebaran Lebuhraya KL-Karak dijadual bermula suku kedua 2025

Ciri utama projek ini merangkumi penambahan satu lorong bagi setiap arah serta pelebaran bahu jalan daripada 2.5 meter kepada 3 meter di kedua-dua belah / Foto ihsan AFA PRIME Bhd

KUALA LUMPUR, 20 MEI - Projek pelebaran Lebuhraya KL-Karak dijadual bermula suku kedua 2025, manakala kerja-kerja mitigasi banjir di Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) telah dimulakan, menurut AFA PRIME Berhad, pemegang konsesi kedua-dua lebuhraya itu.

Projek pelebaran Lebuhraya KL-Karak meliputi jajaran antara Plaza Tol Gombak dan Plaza Tol Bentong, selaras dengan peningkatan jumlah trafik yang berterusan, terutamanya pada hujung minggu dan musim perayaan.

''Kerja-kerja persediaan termasuk pemotongan cerun, penaiktarafan sistem perparitan, mitigasi banjir, dan pembinaan tembok penahan kini sedang dijalankan, dengan jangka masa pembinaan keseluruhan selama 48 bulan,'' jelas Ir. Vijayaraj, Pengarah Eksekutif AFA PRIME Berhad.

''Ciri utama projek ini merangkumi penambahan satu lorong bagi setiap arah serta pelebaran bahu jalan daripada 2.5 meter kepada 3 meter di kedua-dua belah.

''Ini akan membolehkan bahu jalan diaktifkan secara fleksibel sebagai lorong pintar pada waktu puncak, sekali gus menambah bilangan lorong operasi dan meningkatkan kelancaran aliran trafik dengan ketara,'' katanya.

Seiring dengan projek pelebaran Lebuhraya KL-Karak, kerja-kerja mitigasi banjir di sepanjang LPT1 turut dimulakan bagi meningkatkan daya tahan terhadap perubahan iklim dan memastikan operasi lebuh raya berjalan lancar tanpa gangguan sewaktu cuaca ekstrem.

Usaha berterusan ini merangkumi penilaian risiko menyeluruh, penaiktarafan sistem perparitan, serta penambahbaikan infrastruktur bagi mengurangkan risiko banjir kilat sepanjang laluan tersebut.

NORZAINAH ZAINAL ABIDIN