fb fb fb fb fb

Program Tarif Elektrik Hijau diteruskan tahun depan

Foto Hiasan / Bernama

KUALA LUMPUR, 29 Disember - Program Tarif Elektrik Hijau (GET) yang menawarkan bekalan elektrik daripada Tenaga Boleh Baharu (TBB) akan diteruskan pelaksanaannya tahun depan.

Kementerian Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam (KPTDGA) memaklumkan ianya antara komitmen berterusan kerajaan dalam menyokong aspirasi negara ke arah negara neutral karbon pada 2050.

"Untuk tujuan penambahbaikan, kementerian akan meneliti semula pelaksanaan serta kaedah pengoperasian program. Ini termasuk mengkaji semula kadar premium yang ditetapkan, agar lebih kompetitif dan menarik," kata KPTDGA menerusi kenyataan.

Selain itu, KPTDGA turut akan meneliti kaedah penawaran GET untuk membenarkan tempoh langganan yang lebih panjang.

Perincian lanjut akan dimaklumkan kementerian dalam masa terdekat setelah kajian dan penelitian semula selesai dijalankan.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN