fb fb fb fb fb

Ekonomi Malaysia kekalkan pertumbuhan positif pada Oktober 2023

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) memaklumkan prestasi konsisten itu telah menyumbang kepada pertumbuhan 3.9 peratus dalam ekonomi bagi tempoh sembilan bulan pertama 2023 / Foto Hiasan

KUALA LUMPUR, 29 Disember - Ekonomi Malaysia mengekalkan pertumbuhan positif sepanjang tiga suku pertama 2023 dan menunjukkan tanda positif pada Oktober, diterajui oleh pengeluaran perindustrian dan jualan runcit.

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) memaklumkan prestasi konsisten itu telah menyumbang kepada pertumbuhan 3.9 peratus dalam ekonomi bagi tempoh sembilan bulan pertama 2023, berbeza dengan pertumbuhan 9.2 peratus dalam tempoh sama pada 2022.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) Malaysia memulih kepada pertumbuhan 2.7 peratus tahun ke tahun pada Oktober 2023, peningkatan ketara berbanding penurunan 0.5 peratus pada bulan sebelumnya.

“Ini merupakan peningkatan signifikan sejak Mei 2023, terutamanya didorong oleh prestasi kukuh sektor perlombongan.

“Pada masa yang sama, sektor elektrik dan pembuatan mengekalkan trend positif apabila masing-masing merekodkan peningkatan 5.8 peratus dan 0.9 peratus,” katanya dalam kenyataan bagi Sorotan Statistik Ekonomi Malaysia (MESR) Siri 12/2023, hari ini.

Sementara itu, Mohd Uzir berkata pasaran buruh Malaysia pula menunjukkan pertumbuhan tahunan 2.0 peratus bagi bilangan penduduk bekerja, mencecah 16.40 juta orang pada Oktober 2023.

“Kadar penyertaan tenaga buruh untuk Oktober 2023 adalah 70.1 peratus, mencatatkan peningkatan 0.4 mata peratus daripada 69.7 peratus pada Oktober 2022.

“Pada masa sama, kadar pengangguran turun 0.2 mata peratus kepada 3.4 peratus berbanding bulan yang sama pada tahun sebelumnya,” katanya.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN