fb fb fb fb fb

Prestasi perdagangan Malaysia kekal dalam trajektori positif

Foto MITI

KUALA LUMPUR, 19 April - Prestasi perdagangan Malaysia kekal kepada trend meningkat bagi suku pertama 2024, tumbuh 7.1% kepada RM690.59 bilion berbanding suku sama tahun 2023.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dalam kenyataan memaklumkan, pertumbuhan menggalakkan itu sejajar dengan pemulihan perdagangan global.

"Bagi tempoh sama, eksport meningkat 2.2% kepada RM362.41 bilion berbanding suku pertama 2023 disumbangkan kenaikan eksport barangan perkilangan dan hasil galian.

"Manakala, lebihan dagangan berjumlah RM34.22 bilion," menurut kenyataan itu.

Daripada segi pasaran pertumbuhan disokong peningkatan eksport ke ASEAN, Amerika Syarikat dan Jepun.

Import pula merekodkan peningkatan dua digit, 13.1% kepada RM328.19 bilion disumbangkan import barangan modal dan pengantara.

Sementara itu, perdagangan Malaysia dengan rakan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) mencatat pertumbuhan positif, meningkat 4.4% kepada RM456.02 bilion.

Angka itu mewakili 65.3% daripada jumlah keseluruhan perdagangan.

TETITIA YUSOFF