fb fb fb fb fb

Prestasi ekonomi Sarawak memberansangkan tiga bulan pertama 2024

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg/Foto Sarawakku

KUCHING, 16 Mei - Sarawak mengutip pendapatan RM4.798 bilion pada tiga bulan pertama tahun ini, kata Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Abang Johari berkata, unjuran sebanyak 38 peratus itu disifatkan amat baik sekali daripada unjuran hasil Sarawak sebanyak RM12.749 bilion.

Menurut beliau, Sarawak berupaya mencorak ekonominya tersendiri sekali gus memberi peluang untuk menentukan hala tuju pembangunan negeri.

"Hasil pendapatan tersebut memberi keyakinan bahawa unjuran hasil negeri bagi tahun ini lebih tinggi berbanding tahun lepas berikutan unjuran peningkatan kutipan hasil negeri, yang dijangka melebihi angka tahun lepas yang berjumlah RM13.3 bilion," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Malam Backbenchers Night di sebuah hotel di sini malam tadi.

Dalam perkembangan lain, Premier Sarawak turut mengumumkan tambahan elaun persidangan bagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sarawak yang menghadiri persidangan DUN daripada RM50 ringgit ke RM450 sehari.

Tambahnya, peningkatan ini adalah setara dengan Ahli Parlimen yang menghadiri Persidangan Dewan Rakyat dan mendapat elaun RM400 sehari.

GRACE AISYAH KEDAYAN