PETALING JAYA, 8 November – Prasarana Malaysia Berhad mencatat sejarah apabila diiktiraf sebagai Pusat Latihan Serantau (RTC) kedua di Asia Pasifik oleh Badan Organisasi Pengangkutan Awam Antarabangsa (UITP) yang berpusat di Brussels, Belgium.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata dengan status RTC ini, Malaysia kini mempunyai pengaruh yang lebih besar dalam penetapan dasar pengangkutan serantau.
"Ini membolehkan Malaysia memainkan peranan aktif dalam membentuk dasar pengangkutan awam yang mampan di Asia Pasifik dan menjadikan negara kita sebagai rujukan dalam pembangunan sistem pengangkutan yang lestari dan cekap. Salah satu impaknya adalah penjanaan ekonomi melalui latihan antarabangsa," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian kolaborasi antara Prasarana dan UITP, di sini.
Tambah Hasbi, RTC Malaysia dijangka akan menarik peserta antarabangsa ke Kuala Lumpur dan memberi impak positif kepada ekonomi negara, khususnya dalam sektor perhotelan, pelancongan, dan perkhidmatan.
Melalui kolaborasi ini, lebih daripada 13,000 warga kerja Prasarana akan menerima akses kepada sumber-sumber latihan bertaraf antarabangsa, termasuk sistem pengurusan pembelajaran UITP.
Prasarana juga akan menawarkan program latihan dan pembangunan profesional untuk pelbagai pemain industri, termasuk agensi-agensi kerajaan dan pihak swasta di rantau ini.
Syarikat perkhidmatan pengangkutan itu menyasarkan untuk melatih seramai 450 kakitangan melalui RTC dalam tempoh empat tahun bagi memperkukuh kepimpinan dan kemahiran teknikal.