KUALA LUMPUR, 9 Oktober -Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) disaran berani menerapkan teknologi baharu bagi mengukuhkan kedudukan mereka dalam rantaian bekalan global.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, penggunaan Kecerdasan Buatan (AI) mampu memastikan kualiti produk yang konsisten dan mengurangkan pembaziran.
Langkah itu sekali gus, menjadikan PKS pembekal yang lebih dipercayai dalam industri elektrik dan elektronik (E&E) global.
“Teknologi berasaskan AI kini digunakan untuk penyelenggaraan ramalan, kawalan kualiti dan pengoptimuman rantaian bekalan. Ia membantu mengesan masalah pengeluaran lebih awal dan memastikan kualiti produk kekal konsisten.
Langkah ini juga dapat mengurangkan pembaziran agar PKS kekal sebagai pembekal dipercayai dalam rantaian global E&E,” katanya ketika menyampaikan ucapan penutup di Persidangan Ekonomi PKS ASEAN, di sini, hari ini.
Beliau memaklumkan, penggunaan robotik dan automasi turut berupaya meningkatkan kepantasan, ketepatan serta pengalaman pelanggan, membolehkan PKS berkhidmat dengan lebih efisien kepada syarikat multinasional.
Dalam majlis sama, beliau bersama Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, turut merasmikan pelancaran CIMB OCTO Biz, strategi digital pertama seumpamanya oleh CIMB Group Holdings Berhad.