JOHOR BAHRU, 9 Oktober - Gerakan Koperasi Johor mencatat perolehan tahunan berjumlah RM824.57 juta tahun lalu.
Susulan itu, Exco Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor, Mohd Hairi Mad Shah, menggesa semua koperasi di negeri itu merebut peluang dalam Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) bagi meningkatkan perolehan tahunan masing-masing.
Beliau berkata, JS-SEZ diyakini menjadi platform terbaik untuk koperasi tempatan meneroka aktiviti ekonomi berskala tinggi, selain memperluas pasaran produk dan perkhidmatan mereka.
“Kerajaan negeri akan terus bekerjasama rapat dengan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) serta agensi berkaitan bagi memperluas akses kepada pembiayaan dan latihan keusahawanan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Koperasi Terbaik Johor 2025, di sini.
Untuk rekod, lebih 1,400 koperasi berdaftar direkodkan di Johor setakat ini.