KUALA LUMPUR, 6 Mei - Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) menyasarkan untuk meningkatkan eskport sebanyak 79 peratus kepada 1,960 unit tahun ini daripada 1,094 unit pada 2023 susulan sasaran syarikat pengeluar kereta nasional itu untuk meluaskan pasaran luar negaranya.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad berkata tahun 2024 akan menjadi tahun pertama pengembangan pasaran eksport syarikat itu.
"Kami kini berada pada ekosistem automotif Malaysia yang sudah mampu untuk memenuhi peningkatkan permintaan terhadap kenderaan kami, sama ada di dalam dan luar negara.
"Kami menjangkakan pertumbuhan yang berterusan dalam pasaran eksport Perodua berikutan pengembangan agresif operasi di samping keupayaan pengeluaran para pembekalnya," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata Brunei adalah pasaran eksport pertama dipilih bagi tujuan pengembangan operasi tanpa menjejaskan peruntukan kenderaan domestik.
Perodua melancarkan model Alza AV dan H, serta Axia AV dan G ke Brunei pada 3 Mei tahun ini, dengan sasaran jualan masing-masing sebanyak 120 unit dan 40 unit.
Alza AV, H, dan Axia AV dan G yang baharu dilancarkan, masing-masing ditawarkan pada harga B$30,900, B$27,900, B$21,900 dan B$17,900, termasuk cukai jalan dan insurans. (B$1 = RM3.50).
Syarikat pengeluar kereta nasional itu turut mengeksport model Bezza 1.0L G ke Brunei, berharga B$16,900, dengan sasaran jualan sebanyak 300 unit, menjadikan jumlah unit jualan yang dijangkakan di Brunei kepada 460 unit pada 2024.
Pada 2023, Perodua telah mencatat jualan sebanyak 300 unit Bezza 1.0L G ke Brunei, menjadikannya pasaran eksport terbesar syarikat berkenaan tahun lepas.
"Kami telah berjaya mengurangkan tempoh menunggu untuk semua model popular kami dan mempunyai stok tersedia bagi sesetengah model kenderaan.
“Di samping itu, sasaran kami untuk meningkatkan pasaran eksport juga akan memberikan peluang yang lebih besar kepada para pembekal kami untuk turut sama meningkatkan jumlah jualan mereka selaras dengan keperluan bagi komponen alat ganti,” kata Zainal. - BERNAMA