fb fb fb fb fb

Perodua catat rekod jualan tertinggi 2024

Perodua mencatatkan rekod pendaftaran tertinggi dengan jualan sebanyak 358,102 unit kenderaan bagi tahun 2024 / Foto Hiasan / Bernama

KUALA LUMPUR, 7 Januari - Perodua mencatatkan rekod pendaftaran tertinggi dengan jualan sebanyak 358,102 unit kenderaan bagi tahun 2024, meningkat 8.4 peratus berbanding 330,325 unit yang direkodkan pada tahun 2023.

Dalam satu kenyataan, syarikat pengeluar kenderaan itu turut memaklumkan ia menghasilkan 368,100 unit kenderaan sepanjang tahun 2024.

Jumlah tersebut merupakan pengeluaran tertinggi dalam sejarah 30 tahun operasinya, dengan peningkatan sebanyak 7.2 peratus berbanding 343,400 unit yang dikeluarkan pada tahun 2023.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Sri Zainal Abidin Ahmad menyifatkan pencapaian itu sebagai bukti potensi sebenar syarikatnya serta penanda aras penting bagi industri automotif negara.

“Untuk tahun ini, kami optimis dengan peluang baharu yang akan muncul, walaupun perlu bersedia menghadapi cabaran serta persaingan daripada jenama automotif baharu di pasaran,” katanya.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN