fb fb fb fb fb

Permohonan budi agri-komoditi masih rendah - Johari

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari pada program BUDI Agri-Komoditi bersama komuniti Kluang di Kampung Abdul Rahman Yassin, di sini hari ini/ BERNAMA

KLUANG, 24 September- Kerajaan menerima lebih 66,000 permohonan pekebun kecil di seluruh negara bagi program BUDI Agri-Komoditi setakat 20 September lepas, dengan 10,000 daripadanya merupakan permohonan rayuan.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata jumlah itu sangat rendah berbanding anggaran 214,000 pekebun kecil persendirian yang direkodkan di seluruh negara.

“Apabila kita umum penyasaran subsidi diesel, didapati ramai tidak mendaftar. Jadi kita tahu banyak pekebun kecil kurang faham bagaimana untuk memohon dan akhirnya kita turun padang memberikan penerangan dan bantu mereka mendaftar.

“Kita turun untuk membantu pekebun kecil supaya selepas ini, mereka juga boleh sampaikan kepada kawan. Saya beritahu semua agensi dalam kementerian ini untuk bantu pekebun kecil kerana ada sesetengah kawasan mungkin tidak ada liputan internet yang bagus menyebabkan susah untuk mereka mendaftar,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas melancarkan program BUDI Agri-Komoditi bersama komuniti Kluang di Kampung Abdul Rahman Yassin, di sini hari ini.

Setakat ini, Johari berkata lebih 50 program berskala kecil dan besar telah dilaksanakan Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) bagi meningkatkan pendaftaran program BUDI Agri-Komoditi.

Beliau juga memohon wakil rakyat di seluruh negara untuk turun padang membantu pekebun kecil bagi memastikan mereka tidak terlepas daripada menerima manfaat yang disumbangkan kerajaan.

Bagi negeri Johor, Johari berkata lebih 46,000 pekebun kecil layak memohon namun hanya sekitar 1,000 permohonan diterima setakat ini.

Program BUDI Agri-Komoditi merupakan antara inisiatif di bawah Program Bantuan Subsidi MADANI (BUDI MADANI), bertujuan menyasarkan subsidi diesel kepada pekebun kecil dalam sektor agrikomoditi serta petani dan penternak.

Menerusi inisiatif itu, pekebun kecil sawit, getah, koko, lada dan kenaf yang layak dan berdaftar dengan agensi di bawah KPK di Semenanjung Malaysia akan menerima insentif tunai sebanyak RM200 sebulan iaitu bersamaan RM2,400 setahun.- BERNAMA

ZEHRA BINTI ZAMBRI