PUTRAJAYA, 17 Oktober - Prestasi perdagangan Malaysia kembali meningkat pada September 2025, dengan jumlah perdagangan meningkat 9.8 peratus kepada RM257.5 bilion berbanding RM234.4 bilion pada September 2024.
Peningkatan itu didorong terutamanya oleh pertumbuhan eksport dua angka (12.2%) kepada RM138.7 bilion dan kenaikan import 7.3 peratus kepada RM118.8 bilion.
Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menerusi kenyataan berkata, lebihan dagangan turut meningkat 54.7 peratus, daripada RM12.8 bilion kepada RM19.9 bilion pada September 2025.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, eksport Malaysia meningkat pada September 2025 seiring dengan kenaikan eksport semula dan eksport domestik.
Eksport semula merangkumi 24.9 peratus daripada jumlah eksport dan melonjak 46.1 peratus tahun ke tahun kepada RM34.5 bilion, manakala eksport domestik menyumbang 75.1 peratus dan meningkat kepada RM104.2 bilion.
Begitu juga, import turut mencatatkanpeningkatan kepada RM118.8 bilion, mencerminkan kenaikan 7.3 peratus.
Lebihan dagangan pula melonjak 54.7 peratus kepada RM19.9 bilion, mencatatkan lebihan dagangan 65 bulan berturut-turut sejak Mei 2020.
Berbanding Ogos 2025, eksport, import, jumlah dagangan dan lebihan dagangan masing-masing mencatatkan peningkatan 5.6 peratus, 2.9 peratus, 4.3 peratus dan 25.3 peratus.