KUALA LUMPUR, 17 Oktober – Malaysia komited sebagai peneraju tenaga hijau serantau dengan menandatangani tujuh memorandum persefahaman (MoU) bersama Jepun pada Mesyuarat Menteri Asia Zero Emission Community (AZEC) Ketiga, hari ini.
MoU tersebut merangkumi bidang strategik termasuk penyahkarbonan industri, biofuel, pembiayaan peralihan, dan penangkapan serta penyimpanan karbon (CCS).
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang berkata mesyuarat ini menzahirkan komitmen Malaysia untuk masa depan tenaga mampan, inovatif dan inklusif, sejajar dengan prinsip Malaysia MADANI dan Visi Komuniti ASEAN 2045.
“Kerjasama hari ini membuahkan hasil nyata. Kami menumpukan kepada tiga tonggak utama untuk kerjasama masa depan bagi memastikan peralihan tenaga adil, mempercepat mobiliti hijau dan bahan api penerbangan mampan (SAF), serta menggerakkan pembiayaan peralihan tenaga.
"Semua ini selaras dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), yang menetapkan sasaran 70% kapasiti tenaga boleh baharu menjelang 2050,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat AZEC di ibu negara.
Antara projek utama termasuk pembangunan loji biofuel di Pengerang, projek tenaga solar terapung di Tasik Kenyir, sistem grid digital, dan pengembangan pasaran karbon serantau.
Beliau menambah bahawa Pelan Malaysia Ke-13 (13MP) telah mengiktiraf tenaga nuklear sebagai sebahagian daripada campuran tenaga masa depan negara, dan program pembangunan tenaga nuklear akan menjadi langkah seterusnya dalam peralihan tenaga bersih Malaysia.
Langkah tersebut dijangka memacu negara menjadi hab tenaga serantau, membuka peluang kepada kerajaan, industri, dan komuniti untuk menyertai revolusi tenaga hijau secara bersepadu.