KUALA LUMPUR, 17 Oktober - Malaysia terus mengekalkan kedudukannya sebagai negara perdagangan utama dunia apabila mencatatkan prestasi eksport yang kukuh.
Perkara itu dinyatakan Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.
Menurutnya, Malaysia kini berada pada tangga ke-24 sebagai negara perdagangan terbesar dan ke-25 sebagai negara pengeksport terbesar di dunia.
Pada 2024, Malaysia merekodkan jumlah eksport sebanyak RM1.51 trilion, yang didorong terutamanya oleh produk elektrik dan elektronik, petroleum serta minyak sawit.
"Malaysia telah mencapai prestasi yang sangat memberangsangkan sejak empat tahun lalu. Tahun ini merupakan tahun kelima berturut-turut kita berjaya menembusi paras RM1 trilion.”
“Pertama, perbanyakkan pensijilan di peringkat global. Kedua, terapkan inovasi. Ketiga, hayati agenda pendigitalan. Dan keempat, libatkan diri dalam e-dagang," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media bersempena Majlis Pra-pelancaran Anugerah Eksport Negara (NEA) 2025.
Tambah beliau bagi tempoh lapan bulan pertama 2025, eksport negara mencapai paras tertinggi apabila meningkat 3.9 peratus kepada RM1.03 trilion.
Seiring dengan pencapaian memberangsangkan itu, kerajaan turut memperkukuh sokongan terhadap pengeksport melalui pelbagai insentif dan fasilitasi pasaran.
Belanjawan 2026 baru-baru ini juga mengumumkan peruntukan RM60 juta bagi Geran Pembangunan Pasaran (MDG) kepada MATRADE untuk memudah cara Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) mengeksport ke pasaran sedia ada dan baharu, menyokong inisiatif Malaysia Go Global (MGG) dan sasaran RMK13.
NEA 2025 dijangka akan diluncurkan pada 5 Disember 2025 bagi mengiktiraf pengeksport cemerlang yang berjaya meletakkan Malaysia di perdagangan global.
Bertemakan “Menghargai Kecemerlangan, Memacu Perdagangan Global”, NEA 2025 merupakan satu inisiatif strategik bagi memperkukuh reputasi negara sebagai rakan dagang yang berdaya saing, berorientasikan perkhidmatan dan kelestarian.