PUTRAJAYA, 17 Oktober - Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) diunjur bertumbuh 5.2 peratus pada suku tahun ketiga 2025.
Jabatan Perangkaan Malaysia, DOSM menerusi kenyataan berkata jumlah itu didorong oleh prestasi kukuh merentasi semua sektor utama.
Anggaran awalan tersebut menunjukkan peningkatan daripada pertumbuhan 4.4 peratus pada suku tahun sebelumnya.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, momentum ekonomi Malaysia mengukuh pada suku tahun ketiga 2025, disokong oleh prestasi kukuh dalam semua sektor utama.
Permintaan domestik kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan, terutamanya dalam aktiviti berkaitan pelancongan sepanjang cuti umum dan cuti sekolah.
Pelaburan modal yang berterusan dan peningkatan permintaan luaran turut mengukuhkan pengembangan ekonomi, walaupun berdepan ketidaktentuan dasar perdagangan global.
Selain itu, pengurangan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus dan pengagihan bantuan tunai sekali bayar RM100 kepada rakyat Malaysia yang layak di bawah inisiatif Sumbangan Asas Rahmah (SARA), telah memainkan peranan penting dalam merangsang penggunaan domestik.
Ia seterusnya mengukuhkan keseluruhan aktiviti ekonomi sepanjang suku tahun ini.