fb fb fb fb fb

Perdagangan Malaysia catat pertumbuhan 10.3 peratus, nilai tertinggi sejak Oktober 2022

FOTO HIASAN

KUALA LUMPUR, 20 Jun- Perdagangan Malaysia kekal berdaya tahan dan kukuh dengan mencatatkan pertumbuhan 10.3 peratus kepada RM246.31 bilion, bagi Mei 2024.

Ia merupakan nilai tertinggi dicatatkan sejak Oktober 2022 dan pertumbuhan tahun ke tahun bagi tempoh lima bulan berturut-turut.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menerusi satu kenyataan memaklumkam, eksport berkembang 7.3 peratus kepada RM128.22 bilion.

Manakala import, naik 13.8 peratus kepada RM118.09 bilion.

Lebihan dagangan berjumlah RM10.14 bilion, menjadikannya lebihan dagangan ke-49 bulan berturut-turut sejak Mei 2020.

Pasaran eksport utama negara menunjukkan tanda-tanda pemulihan ekonomi, berdasarkan peningkatan eksport ke antaranya ke ASEAN, China dan Amerika Syarikat.

Untuk lima bulan pertama 2024, perdagangan meningkat 8.7 peratus kepada RM1.158 trilion berbanding tempoh sama 2023.

Eksport naik 4.5 peratus kepada RM605.25 bilion dan import bertambah 13.7 peratus kepada RM553.24 bilion.

Lebihan dagangan sebanyak RM52.01 bilion telah dicatatkan pada tempoh ini.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE