KUALA LUMPUR, 3 Ogos - Pengumuman terbaharu Amerika Syarikat (AS) yang menurunkan kadar tarif import ke atas produk Malaysia daripada 25 peratus kepada 19 peratus, sejajar dengan kadar dikenakan ke atas negara jiran seperti Thailand, Indonesia dan Filipina.
Pakar ekonomi, Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai, berkata langkah ini memberi kelegaan kepada penggiat industri, terutamanya sektor elektrik ,elektronik dan solar yang sebelum ini terkesan akibat tarif tinggi.
"Malaysia kini menikmati kadar tarif yang setara dengan negara pesaing, sekali gus meningkatkan daya saing dalam sektor elektrik, elektronik dan solar. Kelebihan pengalaman lebih 50 tahun dan status sebagai perintis industri solar memberi kelebihan besar kepada kita untuk menarik pelabur asing dan bersaing di peringkat global", kata beliau ketika dihubungi Berita RTM, di sini.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan supaya negara tidak terlalu bergantung kepada pasaran AS yang sedang menuju ke arah ekonomi kendiri.
Eksport sedia ada bernilai RM190 bilion perlu dirancang semula agar dikurangkan kepada bawah RM50 bilion dalam tempoh lima tahun.
Sebagai langkah strategik, Malaysia disarankan membuka pasaran baharu di Amerika Selatan, Kanada, Eropah, China dan Taiwan untuk produk utama seperti panel solar dan komponen elektronik.
Tambah Barjoyai, usaha perlu digandakan untuk memperluas pasaran bagi pelbagai produk eksport lain agar ekonomi Malaysia kekal berdaya tahan dalam jangka panjang.