fb fb fb fb fb

Pembinaan sejuta rumah mampu milik perlu ambil kira lokasi strategik, kemampuan rakyat

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 3 OGOS - Pembinaan satu juta unit rumah mampu milik dalam tempoh 10 tahun bermula 2026 hingga 2035 di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) perlu dirancang secara menyeluruh, dengan mengambil kira lokasi yang sesuai serta keperluan sebenar rakyat.

Menurut penganalisis hartanah, Ahyat Ishak, projek perumahan ini seharusnya memberi tumpuan kepada kawasan bandar dan lokasi yang sedang atau bakal dibangunkan, terutama di kawasan yang terlibat dalam pembangunan industri berteknologi tinggi.

“Rumah mampu milik perlu dibina di lokasi yang betul seperti kawasan bandar dan kawasan perindustrian yang sedang dan akan dibangunkan, khususnya dalam sektor teknologi tinggi. Ini penting kerana kawasan-kawasan sebegini dijangka mencetuskan permintaan tinggi terhadap perumahan dalam masa terdekat,” katanya ketika dihubungi RTM, di sini.

Tambah beliau, perluasan inisiatif Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) juga dilihat dapat membantu golongan yang tidak mempunyai pendapatan tetap dan tidak memiliki slip gaji.

“Struktur pendapatan rakyat Malaysia hari ini sudah banyak berubah. Ramai yang tidak lagi makan gaji tetap, sebaliknya memperoleh pendapatan daripada ekonomi gig, perniagaan dalam talian, serta media sosial. Golongan ini sering sukar mendapat kelulusan pinjaman rumah melalui kaedah konvensional,” katanya lagi.

Peluasan skim sewa untuk beli atau 'rent-to-own' (RTO) juga dilihat dapat memberi peluang kepada pembeli menilai kemampuan kewangan mereka serta kesesuaian lokasi rumah sebelum membuat keputusan jangka panjang.

Sementara itu, Pensyarah Fakulti Alam Bina, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Prof. Madya Sr Dr Rohayu Ab Majid pula menyifatkan inisiatif ini adalah pemangkin kepada impian lebih ramai rakyat untuk memiliki kediaman sendiri.

“Dari aspek pelaksanaan, pembinaan rumah perlu tertumpu kepada kawasan yang benar-benar memerlukan, dengan harga yang sesuai mengikut kemampuan pembeli. Pembangunan juga perlu menyeluruh dan dilengkapi kemudahan asas untuk menyokong kehidupan penduduk.” ujarnya.

Jelas Rohayu, peluasan SJKP juga perlu diperkemaskan dengan penilaian yang teliti terhadap kumpulan sasar, agar bantuan disalurkan kepada mereka yang benar-benar layak.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan satu juta unit rumah mampu milik bakal dibina dalam tempoh 2026 hingga 2035 di bawah RMK13 bagi membolehkan lebih ramai rakyat memiliki rumah yang selesa dan selamat.

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN