fb fb fb fb fb

Pengenalan RIA, langkah tingkat kesedaran kewangan pencarum KWSP

Foto Fail

KUALA LUMPUR, 13 Disember- Pengenalan rangka kerja Kecukupan Pendapatan Persaraan (RIA) dilihat sebagai langkah meningkatkan kesedaran kewangan bagi pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr. Mohd Afzanizam Abdul Rashid berpendapat, rangka kerja itu menggalakkan ahli lebih cakna tahap simpanan yang diperlukan selepas bersara.

Penanda aras simpanan asas baharu berjumlah RM390,000 juga lebih relevan berbanding kadar semasa dengan mengambil faktor inflasi dan peningkatan kos sara hidup.

"Sudah pasti, jumlah sebelum ini yang dianggap statik ataupun tidak berubah mungkin adalah sesuatu yang tidak ideal.

Hakikatnya juga, setiap individu tersebut ataupun ahli KWSP itu mempunyai tahap kehidupan yang berbeza daripada segi perbelanjaan dan tingkat pendapatan," kata Dr. Mohd Afzanizam kepada pemberita RTM secara eksklusif dalam satu temu bual maya, hari ini.

Tambahnya, rangka kerja tersebut turut memastikan pencarum yang mempunyai simpanan melebihi RM1 juta tidak membuat pengeluaran sewenang-wenangnya.

Dengan cara ini, ia memastikan pencarum mempunyai simpanan yang mencukupi, sekali gus mengekalkan kestabilan kewangan bagi menghadapi tempoh persaraan dengan lebih baik.

Penanda aras Simpanan Asas baharu ditingkatkan daripada RM240,000 ketika ini secara berperingkat bermula tahun 2026.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM