fb fb fb fb fb

Pengeluaran getah asli meningkat- DOSM

FOTO HIASAN

KUALA LUMPUR, 8 Disember- Pengeluaran getah asli meningkat 0.6 peratus pada Oktober 2023 kepada 32,944 tan metrik berbanding bulan sebelumnya.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, perbandingan tahun ke tahun menunjukkan pengeluaran meningkat 3.6 peratus daripada 31,795 tan metrik pada Oktober 2022.

Sektor pekebun kecil menyumbang 84.2 peratus kepada pengeluaran pada Oktober lepas, berbanding sektor estet sebanyak 15.8 peratus.

Jumlah stok getah asli pula susut 0.4 peratus kepada 152,396 tan metrik berbanding September 2023.

Eksport getah asli berjumlah 56,460 tan metrik pada Oktober 2023, menurun satu peratus berbanding bulan sebelumnya.

China kekal destinasi utama eksport, merangkumi 58.9 peratus daripada jumlah keseluruhan.

Ini diikuti Jerman, Iran, Portugal dan Türkiye.

Prestasi eksport disumbangkan produk berasaskan getah asli seperti sarung tangan getah, tayar dan tiub.

Produk sarung tangan getah merupakan eksport utama dengan nilai sebanyak RM1 bilion pada Oktober 2023, menurun 2.0 peratus berbanding September 2023.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE