KUALA LUMPUR, 6 Mac- Keputusan Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia (BNM) untuk mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada tiga peratus sememangnya telah dijangka para penganalisis ekonomi.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr. Mohd Afzanizam Abdul Rashid berpandangan, keputusan itu adalah tepat dan bersesuaian dengan keadaan ekonomi semasa.
"Kami melihat dengan pengekalan kadar OPR ini seharusnya akan memberi kesan yang positif kepada pergerakan nilai ringgit. Ini disebabkan oleh faktor perbezaan kadar faedah di antara Malaysia dengan beberapa negara maju yang seharusnya akan mengecil.
Ini akan secara langsungnya akan mewujudkan sesuatu permintaan yang positif terhadap mata wang ringgit pada masa akan datang," kata Dr. Mohd Afzanizam kepada pemberita RTM secara eksklusif dalam satu video maya, hari ini.
Melangkah ke hadapan, beliau menjangkakan OPR akan dikekalkan pada paras tiga peratus.
Ujarnya, dalam keadaan ekonomi semasa, kadar itu dilihat bersesuaian dan mampu menyokong pertumbuhan ekonomi sepanjang tahun ini.