fb fb fb fb fb

BNM kekalkan OPR pada 3 peratus

Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia (BNM) memutuskan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3 peratus / Foto Hiasan / Fail

KUALA LUMPUR, 6 Mac – Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia (BNM) memutuskan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3 peratus.

Menurut BNM, pada tahap semasa, pendirian dasar monetari kekal menyokong ekonomi serta sejajar dengan penilaian terhadap prospek inflasi dan pertumbuhan.

Penunjuk terkini menunjukkan pertumbuhan global terus berdaya tahan, disokong oleh permintaan dalam negeri yang kukuh serta perdagangan global.

Bagi tahun 2025, ekonomi dunia dijangka mampan, didorong oleh keadaan pasaran pekerja yang positif, inflasi yang sederhana, serta dasar monetari yang kurang ketat.

Disinflasi di kebanyakan negara maju dijangka berterusan susulan penurunan harga komoditi serta kesan dasar monetari ketat sebelum ini yang semakin luput.

BNM turut menjangkakan perdagangan global kekal stabil, disokong oleh peningkatan kitaran teknologi.

Namun begitu, prospek pertumbuhan global, inflasi dan perdagangan masih tertakluk kepada ketidakpastian signifikan, termasuk dasar tarif serta perkembangan geopolitik.

Faktor ini boleh menyebabkan volatiliti pasaran kewangan global yang lebih ketara.

Sementara itu, ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan 5.1 peratus pada tahun 2024, didorong oleh permintaan dalam negeri yang kukuh serta pemulihan eksport.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN