fb fb fb fb fb

Pendapatan pelaburan KWSP: RM38.92 bilion bagi enam bulan tahun 2025

Meningkat 3% berbanding RM37.90 bilion bagi tempoh sama tahun 2024 / Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 14 Ogos - Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mencatatkan jumlah pendapatan pelaburan sebanyak RM38.92 bilion bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2025.

Menurut pengurus dana persaraan itu, jumlah tersebut meningkat 3% berbanding RM37.90 bilion pada tempoh sama pada tahun 2024.

''Jumlah pendapatan pelaburan ini termasuk keuntungan penilaian semasa pasaran sebanyak RM440 juta ke atas sekuriti yang belum direalisasikan, terutamanya disebabkan oleh turun naik kadar pertukaran mata wang asing.

''Selaras dengan dasar KWSP, keuntungan ini tidak akan diagihkan sebagai dividen,'' jelas dana persaraan itu dalam satu kenyataan, hari ini.

Jumlah pendapatan pelaburan KWSP bagi suku kedua 2025 pula berjumlah RM20.61 bilion, meningkat 22% berbanding RM16.91 bilion tempoh sama tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, pendekatan pelaburan jangka panjang yang pelbagai terus menghasilkan prestasi berdaya tahan.

''Peningkatan pendapatan bagi separuh pertama disokong pemulihan pasaran yang stabil, prestasi domestik yang kukuh, dan pengurusan portfolio yang berdisiplin.

''Peningkatan dalam caruman dan pendapatan telah menyumbang kepada kenaikan 5% bagi jumlah aset di bawah pengurusan,'' katanya.

Tambahnya, penekanan terhadap aset berkualiti tinggi, terutamanya dalam sektor domestik utama, pengagihan aset yang berdisiplin dan strategi penyepaduan ESG membolehkan KWSP mengambil peluang di samping mengurus risiko dalam persekitaran global yang tidak menentu.

Walaupun prestasi suku kedua menunjukkan peningkatan, KWSP kekal peka terhadap risiko penurunan berikutan perdagangan global yang perlahan, dasar perdagangan yang tidak menentu, peningkatan tekanan inflasi, dan perubahan geopolitik.

Untuk tempoh dikaji, ekuiti kekal penyumbang terbesar kepada pendapatan pelaburan dengan mencatat RM13.77 bilion, meningkat 35%, berbanding RM10.23 bilion pada suku kedua 2024.

Secara keseluruhan, ekuiti menyumbang 67% daripada jumlah pendapatan pelaburan suku ini.

Instrumen Pendapatan Tetap terus memainkan peranan dalam pemeliharaan modal, menjana RM6.73 bilion atau 33% daripada jumlah pendapatan pelaburan bagi suku ini.

Manakala Hartanah dan Infrastruktur mencatatkan pendapatan sebanyak RM290 juta.

Sementara itu, Instrumen Pasaran Wang mengalami kesan daripada pengukuhan Ringgit berbanding Dolar seterusnya mencatat kerugian RM180 juta ringgit selepas pertukaran mata wang.

Daripada jumlah keseluruhan pendapatan pelaburan sebanyak RM17.39 bilion dijana untuk Simpanan Konvensional dan RM3.22 bilion untuk Simpanan Shariah untuk suku kedua 2025.

Sehingga 30 Jun 2025, jumlah aset pelaburan berjumlah RM1.31 trilion, meningkat 8% berbanding tempoh yang sama tahun lalu.##

HASRON BIN HASSAN