PUTRAJAYA, 6 Februari - Selaras dengan hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu meningkatkan kemasukan pelaburan dari luar, sektor perkapalan tempatan terutamanya Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) perlu ditambah baik.
Antaranya, menaik taraf operasi pelabuhan dan perlu beroperasi 24 jam setiap hari.
Ketua Pegawai Eksekutif Maritime Network, Datuk Seri R Jeyenderan berkata Pelabuhan Klang merupakan antara pelabuhan utama negara yang menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi negara.
"Untuk kebaikan semua ejen-ejen perkapalan dan pemilik kapal, penyewa kapal yang akan menggunakan kemudahan pelabuhan, pemilik dan penyewa akan berpuas hati," katanya ketika ditemui pemberita selepas menyerahkan memorandum cadangan penambahbaikan pelabuhan kepada Kementerian Pengangkutan, di sini.
Tambah R Jeyenderan, paras air laut di Pelabuhan Kurap, di Klang juga semakin cetek dan ia boleh mewujudkan kesukaran untuk kapal berlabuh.