fb fb fb fb fb

Pemerkasaan FELDA, pembangunan ekonomi kitaran asas pendekatan baharu

Pengerusi FELDA, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek

KUALA LUMPUR, 6 Februari - Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) sedang membangunkan ekonomi kitaran yang berpotensi menjadi asas pendekatan baharu dalam memperkasa agensi itu.

Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, ia merupakan konsep guna, pulang dan cipta semula untuk memaksimumkan penggunaan serta hasil.

Beliau berkata, perbincangan lanjut akan diadakan bersama Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Antara inisiatifnya ialah membangunkan kawasan penghasilan larva lalat askar hitam (BSF) yang akan diguna sebagai sumber alternatif utama makanan ternakan.

Katanya, langkah itu sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap jagung dan kacang soya.

"Kita fikirkan kerjasama dengan pihak FELDA untuk menggunakan sisa sawit, yang dahulu sisa sawit itu nilainya sangat rendah ataupun tidak ada nilai, terpaksa kita bayar orang untuk buang, tetapi ia boleh dijadikan makanan untuk lalat askar hitam yang sebenarnya dapat menghasilkan asas yang penting dalam membangunkan makanan ternakan seperti ayam, lembu ,itik dan sebagainya," katanya pada Simposium Felda 2024, di Menara FELDA, di sini.

Tambah Ahmad Shabery, Malaysia memerlukan sekurang-kurangnya 200,000 hektar tanah untuk penanaman jagung bagi memenuhi keperluan negara.

Justeru katanya, menerusi sistem ekonomi kitaran, negara mempunyai sumber baharu untuk menghasilkan makanan ternakan.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN