fb fb fb fb fb

Pembukaan OCI Holdings, syarikat Korea Selatan perlu sokong permintaan tempatan

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz

KUALA LUMPUR, 21 April - Syarikat tenaga dan kimia yang berpangkalan di Korea Selatan, OCI Holdings perlu menyokong permintaan tempatan selepas mengumumkan pembukaan rasmi ibu pejabat serantau di Kuala Lumpur.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, ini memandangkan Malaysia sedang bergerak aktif dalam rantaian nilai semikonduktor peringkat awal dan sektor hijau.

Katanya, terdapat banyak syarikat Korea Selatan lain yang bekerjasama dengan Malaysia dalam penangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS).

"Kerjasama tersebut memerlukan produk dan perkhidmatan teknologi canggih.

"OCI diyakini mempunyai pangkalan pembuatan yang kukuh di Malaysia, iaitu menjadi pengeksport global produk kimia," katanya menerusi kenyataan.

Katanya, ibu pejabat syarikat itu akan menyatukan fungsi OCI di Jepun, China, Filipina dan Malaysia.

Ia meliputi aspek penetapan belanjawan kewangan, pembangunan rancangan perniagaan dan penetapan inisiatif pelaburan bagi pertumbuhan baharu.

TETITIA YUSOFF