(Foto hiasan/ Paul Tan's Automotive News)
KUALA LUMPUR, 17 Mac - Pelan pinjaman dan perlindungan insurans kenderaan yang bakal diperkenalkan di bawah inisiatif Payung Rahmah dijangka memberi impak positif kepada golongan B40.
Selain membantu mereka yang tidak berkemampuan membeli kereta baharu dan hanya mampu membeli kereta terpakai, ia juga bakal meringankan beban dengan menawarkan skim perlindungan kereta pada harga berpatutan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Etiqa Insurans dan Takaful, Kamaludin Ahmad optimis inisiatif tersebut akan dapat dilaksanakan dengan perincian teliti dan libat urus bersama pihak terbabit.
"Untuk insurans ini, ia akan mendatangkan manfaat, bagaimana pun kita perlu perincian pelaksanaannya supaya ia benar-benar memberi kebaikan dan memudahkan golongan B40, kita akan menyediakan Etiqa supaya kita dapat membantu kerajaan menjayakan aspirasi ini.
"Insya-Allah kita akan 'actively participate' dalam sebarang perbincangan, ini selaras aspirasi kita 'to make the world a better place' di mana dunia ini untuk semua bukan hanya golongan tertentu," kata beliau ketika mengulas mengenai kesediaan operator insurans untuk menjayakan inisiatif insurans Rahmah, di sini hari ini.
(Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Etiqa Insurans dan Takaful, Kamaludin Ahmad)
Tambah Kamaludin, secara tidak langsung inisiatif tersebut menyuntik kesedaran masyarakat memiliki skim perlindungan bagi menjamin keselamatan dan pengurusan kewangan sekiranya berlaku kejadian kemalangan ketika memandu.
Terdahulu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata kerajaan bercadang mewujudkan kemudahan pembiayaan pinjaman dan insurans kenderaan untuk golongan B40 di bawah Payung Rahmah.
Ke arah itu, kementeriannya akan bertemu institusi perbankan dan pihak insurans bagi membincangkan inisiatif tersebut.