KUALA LUMPUR, 13 Disember- Kerangka Pelaburan MADANI terus menjadi hala tuju baharu negara dalam memastikan pertumbuhan ekonomi yang lebih inklusif, mampan dan berimpak tinggi.
Menurut penganalisis ekonomi yang juga Pengarah Program MBA Putra Business School, Profesor Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff, pelaburan strategik yang diterima Malaysia bukan sekadar angka Pelaburan Langsung Asing (FDI), tetapi membawa limpahan ekonomi nyata kepada rakyat.
"Fokusnya ialah memastikan setiap pelaburan yang masuk benar-benar bernilai tinggi dan mampu melengkapkan ekosistem tempatan, supaya peniaga serta pembekal tempatan turut menerima manfaat. Ini termasuk peluang pekerjaan dengan gaji lebih kompetitif, khususnya dalam bidang yang memerlukan kemahiran sederhana dan tinggi."
"Pada masa sama, ia diharap dapat merapatkan jurang pendapatan rakyat serta mengurangkan ketidakseimbangan kekayaan antara negeri melalui pembangunan yang lebih sekata" kata Profesor Dr. Ahmed Razman.
Beliau ditemui pemberita selepas segmen Bual Biz, di sini.
Mengulas lanjut, Profesor Dr. Ahmed Razman berkata keyakinan pelabur asing dan domestik terhadap Malaysia dipacu oleh beberapa faktor utama, termasuk kestabilan kerajaan, dasar pro-pelaburan, infrastruktur asas yang kukuh merangkumi tenaga dan rangkaian digital, serta ketersediaan tenaga kerja berkemahiran.
"Malaysia memiliki banyak kelebihan yang membuatkan pelabur lebih selesa melabur di sini berbanding negara lain."
"Bagi memastikan setiap pelaburan berteknologi tinggi benar-benar memberi impak positif kepada rakyat, terdapat keperluan untuk mewujudkan dasar atau polisi yang mewajibkan pemindahan teknologi kepada rakyat dan industri tempatan," jelasnya.