KUALA LUMPUR, 18 Ogos - Pelabur asing meneruskan pembelian bersih saham Asia untuk minggu kedua berturut-turut, dengan mencatatkan aliran masuk bersih berjumlah AS$389.4 juta.
Menurut MBSB Investment Bank Bhd, hanya India dan Thailand merekodkan aliran keluar asing bersih, manakala negara lain menyaksikan aliran masuk bersih.
Laporan Aliran Dana pada minggu berakhir 15 Ogos 2025 memaklumkan, di peringkat domestik, pelabur asing meneruskan jualan bersih mereka untuk minggu keenam berturut-turut dengan aliran keluar bersih sebanyak RM566.1 juta.
''Jumlah itu menyaksikan penurunan sebanyak 50 peratus berbanding aliran keluar sebanyak RM1.14 bilion minggu lepas.
“Pelabur asing mencatatkan jualan bersih pada setiap hari dagangan, dengan jumlah aliran keluar antara RM94 juta hingga RM167.4 juta,'' jelas bank pelaburan itu.
Tiga sektor utama yang mencatatkan aliran masuk asing bersih ialah perladangan (RM77.7 juta), hartanah (RM52.7 juta) dan perkhidmatan kewangan (RM42.2 juta).
Sementara itu, tiga sektor utama yang mencatatkan aliran keluar asing bersih tertinggi ialah utiliti (-RM209.5 juta), telekomunikasi dan media (-RM185.5 juta) dan penjagaan kesihatan (-RM152.7 juta).