fb fb fb fb fb

Kilang EV PROTON beroperasi bulan depan

PROTON e.MAS 7/Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 18 Ogos - Kilang pembuatan kenderaan elektrik (EV) milik Proton Holdings Bhd (PROTON) di Tanjung Malim dijadual memulakan pengeluaran berskala penuhnya mulai September ini.

Pengeluar kenderaan nasional itu dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, pembinaan infrastruktur bangunan telah 90.4 peratus siap.

Manakala, pemasangan peralatan sudah 83.5 peratus selesai, menjadikan kemajuan keseluruhan projek pada 86.9 peratus.

''Apabila siap sepenuhnya, kilang baharu ini akan menjadi pusat pengeluaran pelbagai model dengan menggunakan platform "Global Modular Architecture" (GMA).

''Pengeluaran pertama melibatkan model PROTON e.MAS 7, diikuti PROTON e.MAS 5, EV peringkat permulaan yang paling dinanti-nantikan di Malaysia,'' menurut kenyataan itu.

Kilang dengan kapasiti pengeluaran permulaan sebanyak 20,000 unit setahun ini berupaya diperluas dan menampung kapasiti sehingga 45,000 unit.

Pembangunan kemudahan ini dijangka muwujudkan lebih 200 peluang pekerjaan baharu untuk komuniti tempatan, terutamanya dalam bidang industrialisasi EV dan perkhidmatan teknikal.

''Sebagai rakan kongsi PROTON, Zhejiang Geely Holding Group (GEELY) menyediakan panduan teknikal mengenai sistem pengeluaran, membantu dalam pemilihan peralatan, dan menempatkan pakar untuk membantu pemasangan serta pengendalian ujian.

GEELY turut memudah cara latihan di luar negara untuk kakitangan PROTON dan memastikan kilang itu selari dengan piawaian pembuatan EV global,'' tambah kenyataan itu.

MOHAMED ZAMZURI MOHAMED ZAWAWI