fb fb fb fb fb

Pelabur asing beli bersih ekuiti domestik RM478.2 juta minggu lepas

Pelabur asing terus membeli ekuiti domestik minggu lepas bagi minggu kedua berturut-turut dengan belian bersih RM478.2 juta / Foto Hiasan

KUALA LUMPUR, 15 Julai - Pelabur asing terus membeli ekuiti domestik minggu lepas bagi minggu kedua berturut-turut dengan belian bersih RM478.2 juta.

Amanah Investment Bank Bhd (MIDF) memaklumkan, majoriti belian bersih itu dicatatkan pada Khamis dengan nilai RM389.2 juta apabila Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) memutuskan kadar dasar semalaman (OPR) dikekalkan pada 3.00 peratus semasa mesyuarat dua harinya.

“Tiga sektor teratas yang merekodkan pembelian bersih oleh pelabur asing ialah pembinaan (RM198.2 juta), utiliti (RM116.1 juta) serta produk dan perkhidmatan perindustrian (RM111.8 juta),” jelas bank pelaburan itu dalam laporan aliran dana pada Isnin.

Sementara itu, jualan bersih melibatkan sektor produk dan perkhidmatan pengguna (RM92.7 juta), tenaga (RM33.4 juta) dan penjagaan kesihatan (RM21.9 juta).

MIDF memaklumkan institusi tempatan beralih kepada penjualan bersih ekuiti domestik, bernilai RM318.5 juta, selepas membuat pembelian bersih bagi tiga minggu berturut-turut.

“Peruncit tempatan kekal sebagai penjual bersih bagi minggu kedua berturut-turut, dengan jualan RM159.8 juta.

“Minggu lepas, jumlah dagangan harian purata (ADTV) oleh peruncit tempatan turun 1.3 peratus, institusi tempatan pula mencatatkan peningkatan 10.9 peratus, manakala pelabur asing juga melonjak 24.7 peratus,” tambah MIDF.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN