KUALA LUMPUR, 26 April- Walaupun berdepan cabaran geopolitik dan tekanan terhadap rantaian bekalan global, syarikat-syarikat semikonduktor utama Amerika Syarikat yang diwakili Persatuan Industri Semikonduktor (SIA) kekal komited untuk terus melabur di Malaysia.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, berkata perkara itu dizahirkan dalam satu pertemuan strategik bersama pemimpin industri dan penggubal dasar AS, termasuk wakil SIA, di Washington D.C.
Ujarnya, pertemuan itu turut memperkukuh misi Malaysia untuk muncul sebagai pemain utama dalam industri semikonduktor dan teknologi tinggi global, selari dengan pelaksanaan Strategi Semikonduktor Nasional (NSS) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP2030).
“MITI komited menjadikan Malaysia sebagai hab pelaburan yang mampan, progresif dan berteraskan kerjasama ekonomi dua hala yang saling menguntungkan,” katanya dalam satu hantaran di media sosial.