fb fb fb fb fb

Malaysia perkukuh peranan sebagai hab halal global di Expo Osaka 2025

FOTO HIASAN

KUALA LUMPUR, 26 April- Malaysia kekal komited memperkukuh kerjasama antarabangsa serta berkongsi kepakaran dalam mempromosi kesedaran dan inovasi dalam ekosistem halal menerusi penyertaan di Expo 2025 Osaka, Jepun, yang berlangsung dari 13 April hingga 13 Oktober 2025.

Ketua Platform Bersepadu Halal (HIP), Halal Development Corporation Bhd (HDC), Mohammad Hafiz Jamaluddin, berkata penyertaan tersebut menjadi landasan penting buat Malaysia mengukuhkan kedudukannya sebagai hab halal global, sejajar dengan matlamat Pelan Induk Industri Halal 2030 (HIMP 2030).

Menurut kenyataan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), pelbagai inisiatif akan digerakkan untuk mengukuhkan ekosistem halal negara, termasuk pemacu inovasi serta pendigitalan dalam rantaian nilai industri.

HIMP 2030 mengenal pasti pendigitalan, inovasi dan perluasan capaian antarabangsa sebagai antara pemangkin utama pertumbuhan industri halal negara.

HDC kini memberi tumpuan kepada kerjasama strategik, pengukuhan rantaian bekalan, dan peluasan peluang ekonomi Malaysia dalam pasaran halal global.

Bawah seliaan MITI, HDC turut menganjurkan seminar perniagaan mengenai industri halal Malaysia di Pavilion Malaysia pada 17 April, sempena penyertaan negara dalam ekspo tersebut.

Pameran HDC pula berlangsung dari 14 hingga 19 April.

Seminar itu turut mengetengahkan keupayaan Malaysia dalam menerajui ekosistem halal global, terutamanya menerusi pensijilan halal bertaraf antarabangsa, infrastruktur bersepadu dan dasar progresif yang diterajui kerajaan.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE