fb fb fb fb fb

Pasaran getah teruskan aliran menurun dalam persekitaran prestasi bercampur-campur serantau

Foto Hiasan

KUALA LUMPUR, 26 April - Pasaran getah Kuala Lumpur meneruskan aliran menurunnya pada Jumaat dalam persekitaran petunjuk bercampur-campur daripada niaga hadapan getah serantau dan ringgit yang kukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), kata seorang peniaga.

Beliau berkata niaga hadapan getah Jepun merosot untuk sesi keempat pada Jumaat, berikutan pelabur mengelak aset berisiko disebabkan ketidaktentuan global yang meningkat.

"Bagaimanapun, peningkatan selanjutnya dihadkan oleh lonjakan harga minyak ditambah dengan prospek ekonomi global yang stabil," katanya kepada Bernama.

Pada Jumaat, harga minyak melonjak di tengah-tengah bekalan yang lebih terhad dan pergolakan geopolitik di Timur Tengah menjelang pengumuman data inflasi AS utama lewat hari ini.

Beliau berkata pertumbuhan global dijangka mencapai 2.9 peratus tahun ini, naik daripada 2.6 peratus pada Januari, dan diunjurkan mencecah sehingga tiga peratus pada 2025.

Harga Lembaga Getah Malaysia (LGM) bagi Getah Mutu Malaysia 20 (SMR 20) turun 2.5 sen kepada 751.5 sen sekilogram, manakala harga lateks pukal susut tiga sen kepada 697.5 sen sekilogram.

Pada 5 petang, harga rujukan LGM bagi fizikal SMR 20 berada pada 756 sen sekilogram, manakala lateks pukal pada 696 sen sekilogram. - BERNAMA

ZEHRA BINTI ZAMBRI