fb fb fb fb fb

Pasaran getah ditutup tinggi seiring prestasi serantau

Pasaran getah Kuala Lumpur melantun semula untuk ditutup lebih tinggi pada Selasa, didorong oleh aliran peningkatan pasaran niaga hadapan getah serantau / Foto Hiasan

KUALA LUMPUR, 25 Jun - Pasaran getah Kuala Lumpur melantun semula untuk ditutup lebih tinggi pada Selasa, didorong oleh aliran peningkatan pasaran niaga hadapan getah serantau, terutamanya Shanghai dan Jepun, kata peniaga.

Beliau berkata sentimen pasaran turut disokong oleh harga minyak mentah penanda aras yang stabil serta kebimbangan peniaga terhadap potensi kekurangan getah berikutan ramalan cuaca buruk di negara pengeluar utama.

“Bagaimanapun, penurunan selanjutnya dapat dikekang oleh pengukuhan kecil nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) apabila para peniaga menunggu pengumuman data ekonomi utama AS pada minggu ini,” katanya kepada Bernama.

Memetik kenyataan seorang pedagang berpangkalan di Singapura, beliau berkata kelompok pedagang juga mengambil pendirian berdasarkan perbincangan mengenai pasaran berhubung pergerakan stok simpanan China yang juga pengguna utama, sekali gus mendorong prestasi di Bursa Niaga Hadapan Shanghai.

Di peringkat tempatan, harga Lembaga Getah Malaysia (LGM) bagi Getah Mutu Malaysia SMR 20 naik tujuh sen kepada 801 sen sekilogram manakala lateks pukal berkurangan enam sen kepada 751.5 sen sekilogram.

Pada 5 petang, harga rujukan LGM bagi SMR 20 fizikal berada pada 802.5 sen sekilogram manakala lateks pukal pada 745 sen sekilogram.-BERNAMA

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN