KUALA LUMPUR, 16 Oktober- Pasaran getah Malaysia ditutup tinggi sedikit, disokong oleh ringgit yang lebih lemah berbanding dolar AS di tengah-tengah prestasi bercampur-campur pasaran serantau, kata seorang peniaga.
Beliau berkata harapan yang semakin meningkat terhadap ekonomi China yang semakin stabil, disokong oleh rangsangan berterusan meningkatkan lagi sentimen pasaran.
"Namun begitu, kenaikan selanjutnya dihadkan oleh ketidaktentuan pasaran akibat konflik di Timur Tengah," katanya.
Pada 5 petang, mata wang tempatan itu jatuh kepada 4.7340/7375 berbanding dolar AS 4.7260/7305 ketika ditutup pada Jumaat.
Harga Lembaga Getah Malaysia (LGM) untuk Getah Mutu Malaysia 20 (SMR 20) naik 13.5 sen kepada 695.50 sen sekilogram manakala lateks pukal menokok 5.0 sen kepada 536.00 sen sekilogram.
Pada 5 petang, harga rujukan LGM untuk getah fizikal SMR 20 berada pada 696.00 sen sekilogram manakala lateks pukal pada 537.00 sen sekilogram.- BERNAMA