KUALA LUMPUR, 8 Ogos -Pasaran getah Malaysia ditutup lebih tinggi hari ini, disokong oleh aliran meningkat dalam pasaran niaga hadapan getah serantau, kata peniaga.
Beliau berkata niaga hadapan getah Jepun meningkat dan berada di landasan untuk merekodkan peningkatan mingguan, didorong oleh kebimbangan mengenai cuaca di Thailand dan kejelasan yang semakin baik mengenai dasar perdagangan Amerika Syarikat (AS)-Jepun.
Menurutnya sentimen turut diperkukuh dengan keyakinan yang meningkat kepada penurunan kadar faedah AS pada September.
“JP Morgan pada masa ini menjangkakan Rizab Persekutuan (Fed) AS akan menurunkan kadar faedah sebanyak 25 mata asas dalam mesyuarat pada September berikutan isyarat kelemahan dalam pasaran buruh dan ketidaktentuan mengenai pencalonan terkini Presiden Donald Trump untuk jawatan dalam Fed,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata peningkatan selanjutnya dihadkan oleh kebimbangan mengenai kelembapan momentum ekonomi AS.
“Jumlah rakyat AS yang memohon faedah pengangguran buat kali pertama meningkat sedikit pada minggu lepas, dan jumlah tuntutan pengangguran terus menokok kepada 1.974 juta bagi minggu berakhir 26 Julai, naik 38,000 daripada minggu sebelumnya -- melebihi jangkaan dan mencapai paras tertinggi sejak November 2021,” katanya.
Pada 3 petang, Lembaga Getah Malaysia (LGM) melaporkan harga Getah Standard Malaysia (SMR) 20 naik lapan sen kepada 726.00 sen sekilogram manakala susu getah pukal menokok 4.0 sen kepada 569.00 sen sekilogram. - BERNAMA