KUALA LUMPUR, 8 Ogos - Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) menegaskan komitmen untuk mencapai sasaran eksport RM2.09 trilion menjelang 2030.
Menurut MATRADE, jumlah itu sejajar dengan sasaran pertumbuhan eksport kasar negara pada kadar purata 5.8 peratus seperti digariskan dalam Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13).
Sebagai agensi promosi perdagangan utama negara, MATRADE akan terus memainkan peranan strategik dalam memperluas jaringan dagang global, memperhebat promosi eksport dalam sektor-sektor berimpak tinggi yang sejajar dengan prinsip Ekonomi MADANI.
''Usaha ini merangkumi inisiatif padanan perniagaan, penyertaan pameran antarabangsa, promosi perdagangan digital, dan pembinaan jenama ‘Made by Malaysia’ di pasaran utama serta pasaran baharu.
''Sebagai tulang belakang ekonomi negara, Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) akan diperkasakan bagi mencapai pertumbuhan purata eksport tahunan antara 6 hingga 7 peratus sepanjang RMK13,'' jelas MATRADE dalam satu kenyataan hari ini.
Selain itu, penekanan diberi kepada promosi eksport produk bernilai tinggi, pemerkasaan harta intelek dan penjenamaan global agar Malaysia dikenali sebagai pengeluar pintar dan kompetitif.
MATRADE turut menyenaraikan langkah-langkah pelengkap strategik seperti tumpuan kepada penerokaan pasaran baharu berpotensi tinggi antaranya Amerika Selatan, Afrika, Asia Barat dan Eropah Timur.
Usaha itu melibatkan peningkatan penyertaan dalam perjanjian perdagangan bebas, program padanan perniagaan serta misi akselerasi eksport.
Tambahnya, Rangka Tindakan Perdagangan Nasional juga akan diperkenalkan sebagai dokumen hala tuju strategik baharu bagi menyelaras dasar, meningkatkan kecekapan pelaksanaan, dan memperkukuh ekosistem eksport.
Dalam pada itu, Pengerusi MATRADE, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, inisiatif agensi itu akan diselaras untuk menyokong aspirasi kerajaan dalam RMK13.
''Keutamaan akan diberikan kepada memperkukuh daya saing eksport negara melalui pemerkasaan PMKS, penerokaan pasaran baharu, meningkatkan inovasi produk, serta penyesuaian kepada landskap perdagangan global yang semakin kompleks dan mencabar dengan mengadaptasi perniagaan berasaskan teknologi digital dan lestari,” katanya dalam kenyataan sama.