KUALA LUMPUR, 28 Disember- Pasaran getah Malaysia ditutup tinggi hari ini seiring dengan trend meningkat dalam pasaran niaga hadapan getah serantau dan asas pasaran yang menggalakkan terutamanya disebabkan kebimbangan bekalan getah yang terhad ekoran cuaca lembap di negara pengeluar getah utama, kata seorang peniaga.
Beliau berkata pasaran turut bertindak balas secara positif terhadap pasaran stok global yang meningkat berikutan spekulasi pemotongan kadar yang agresif serta harga minyak mentah yang kukuh.
Namun begitu, kenaikan seterusnya dihadkan oleh ringgit yang lebih kukuh berbanding dolar AS dan kebimbangan berterusan terhadap ketegangan di Timur Tengah," katanya kepada Bernama.
Beliau berkata niaga hadapan getah Jepun melonjak sesi kelima berturut-turut dan mencecah paras tertinggi dalam tiga minggu pada Khamis, susulan harga minyak mentah yang kukuh dan prospek potensi berlakunya kekurangan bekalan.
"Harga minyak naik ketika dagangan awal Asia pada Khamis berikutan kebimbangan berterusan terhadap ketegangan di Timur Tengah mengatasi kebimbangan yang mereda terhadap gangguan pengangkutan berikutan beberapa syarikat perkapalan global akan kembali menggunakan laluan Laut Merah," katanya.
Di samping itu, beliau berkata beberapa wilayah di selatan Thailand dilanda banjir yang buruk selepas hujan lebat beberapa hari yang boleh menjejaskan bekalan getah.
Berbanding sesi penutup dagangan sebelumnya, harga Lembaga Getah Malaysia (LGM) untuk Getah Mutu Malaysia 20 (SMR 20) meningkat satu sen kepada 686 sen sekilogram (kg) manakala lateks pukal naik dua sen kepada 536 sen sekg.
Pada 5 petang, harga rujukan bagi getah fizikal SMR 20 berada pada 690.5 sen sekg manakala lateks pukal pada 537.5 sen sekg. - BERNAMA