KUALA LUMPUR, 16 Mac- Pasaran getah Malaysia ditutup rendah hari ini meneruskan aliran menurunnya berikutan permintaan yang lemah seiring dengan penurunan di pasaran niaga hadapan getah serantau, kata seorang peniaga.
Beliau berkata sentimen pasaran dipengaruhi oleh krisis perbankan Amerika Syarikat (AS) yang telah merebak ke Eropah dan meningkatkan kebimbangan berlakunya krisis kewangan global.
“Bagaimanapun, penurunan selanjutnya dikekang oleh ringgit yang lemah berbanding dolar AS dan kenaikan harga minyak mentah di tengah-tengah prospek optimis pertumbuhan ekonomi China,” katanya kepada Bernama.
Peniaga itu berkata niaga hadapan getah Jepun juga jatuh hari ini apabila keadaan sektor perbankan yang tidak menentu pada minggu ini telah mengurangkan minat risiko dalam kalangan pelabur, dan yen yang lebih kukuh menjadikan komoditi itu kurang mampu dimiliki untuk pembeli yang memegang mata wang lain.
Harga Lembaga Getah Malaysia (LGM) bagi SMR 20 susut 10.5 sen kepada 575 sen sekilogram, manakala lateks pukal turun 4.5 sen kepada 528 sen sekilogram.
Pada 5.00 petang, harga penutup LGM bagi SMR 20 berada pada 571 sen sekilogram, manakala lateks pukal pada 523.5 sen sekilogram. - BERNAMA
(Pasaran getah ditutup rendah)