fb fb fb fb fb

Bursa Malaysia ditutup rendah seiring prestasi serantau

(Foto fail)

KUALA LUMPUR, 16 Mac- Bursa Malaysia mengakhiri dagangan hari ini lebih rendah berbanding semalam, seiring dengan prestasi pasaran serantau yang lemah susulan jualan besar-besaran ekuiti Amerika Syarikat (AS) dan Eropah berikutan kebimbangan berlakunya krisis perbankan global, kata penganalisis.

Pada 5.00 petang, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 12.33 mata atau 0.88 peratus kepada 1,391.60 daripada 1,403.93 pada akhir dagangan semalam.

Indeks penanda aras itu dibuka susut 3.11 mata kepada 1,400.82 dan bergerak dalam jajaran 1,391.04 hingga 1,403.93 sepanjang dagangan hari ini.

Sentimen pasaran adalah negatif dengan kaunter untung mengatasi rugi iaitu 719 berbanding 238 manakala 341 kaunter lain tidak berubah, 969 tidak diniagakan manakala 21 lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan sebanyak 3.52 bilion unit bernilai RM2.22 bilion.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata Wall Street susut semalaman selepas saham-saham Credit Suisse Group AG jatuh mendadak, sekali gus mencetuskan kebimbangan mengenai kemungkinan berlakunya krisis perbankan global.

Kalangan pelabur juga tidak pasti mengenai tindak-tanduk Rizab Persekutuan AS (Fed) berkaitan kadar faedah, katanya.

(Bursa Malaysia ditutup rendah seiring prestasi serantau)

“Bagi bursa tempatan, kami yakin jualan besar-besaran itu tidak berlaku memandangkan sistem perbankan Malaysia dikawal selia secara ketara dan risiko kualiti aset pula lebih baik berbanding dengan AS

“Bagaimanapun, akibat ketidaktentuan di peringkat serantau dan global, kami menjangkakan sentimen pasaran dalam jangka pendek ini kekal gelisah,” katanya kepada Bernama.

Berikutan itu, Thong menjangkakan FBM KLCI menyaksikan dagangan antara 1,390 hingga 1,400 mata dalam tempoh menjelang akhir minggu ini.

Saham wajaran tinggi seperti Maybank susut sembilan sen kepada RM8.26; Public Bank rugi dua sen kepada RM3.93 dan Petronas Chemicals turun satu sen kepada RM6.99.

Selain itu, CIMB turun lapan sen kepada RM5.15 dan TNB susut tujuh sen kepada RM9.35.

Bagi saham aktif, Top Glove menokok 13.5 sen kepada 83.5 sen; Zen Tech International naik setengah sen kepada dua sen manakala Careplus meraih 2.5 sen kepada 27 sen.

Hartalega naik 21 sen kepada RM1.78 dan Sapura Energy susut setengah sen kepada 4.5 sen.

Di papan indeks menyaksikan Indeks FBM Emas melonjak 80.20 mata kepada 10,181.17; Indeks FBMT 100 susut 73.42 mata kepada 9,878.14; Indeks FBM ACE turun 85.58 mata kepada 5,190.77; Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 78.09 mata kepada 10,481.27 dan Indeks FBM 70 susut 37.51 mata kepada 13,131.53.

Bagi sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menguncup 128.56 mata kepada 15,353.89; Indeks Tenaga susut 24.63 mata kepada 813.37; Indeks Perladangan berkurangan 40.93 mata kepada 6,681.38 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 1.88 mata kepada 167.68.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama meningkat kepada 2.15 bilion saham bernilai RM1.85 bilion daripada 2.04 billion saham bernilai RM1.63 bilion.

Perolehan waran meningkat kepada 511.37 juta unit bernilai RM76.38 juta daripada 373.03 juta unit bernilai RM59.59 juta sebelum ini.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE meningkat kepada 865.90 juta saham bernilai RM292.68 juta daripada 718.55 juta saham bernilai RM646.99 juta, semalam.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang sebanyak 316.88 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama manakala produk dan perkhidmatan perindustrian (470.98 juta); pembinaan (47.72 juta); teknologi (188.82 juta); SPAC (sifar); perkhidmatan kewangan (74.17 juta); hartanah (86.38 juta); perladangan (25.92 juta); REIT (4.47 juta), dana tertutup (2,000); tenaga (400.54 juta); penjagaan kesihatan (436.63 juta); telekomunikasi dan media (35.06 juta); pengangkutan dan logistik (33.91 juta) serta utiliti (23.64 juta.
-BERNAMA

Media Baharu